A.
HUKUM SUJUD TILAWAH
Sujud tilawah adalah sunat menurut pendapat jumhur ulama.
Manakala Imam Abu Hanifah (Imam mazhab Hanafi) berkata bahawa sujud tilawah itu wajib sama ada ke atas
pendengar atau pembaca.
Hukum
sunat ini bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Syaikhain (Al-Bukhari dan Muslim) daripada Ibnu Umar katanya yang maksudnya
:
"Bahawasanya
Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam telah membaca al-Qur’an, lalu Baginda
membaca satu surah yang di dalamnya ada ayat ‘sajdah’, maka Baginda pun
bersujud lalu kami pun sujud bersama-sama Baginda sehingga sesetengah daripada
kami tidak mendapati tempat untuk meletakkan dahinya”.
Menurut
hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu
‘anhu tentang fadhilat melakukan sujud tilawah, Baginda bersabda yang maksudnya :
“Apabila
anak Adam itu membaca ayat al-Quran yang menuntut untuk sujud, syaitan akan
mengasingkan dirinya lalu menangis dan berkata:” “Celakalah! Anak Adam telah
diperintahkan untuk sujud ia pun sujud, maka baginya balasan syurga, dan aku
diperintahkan untuk sujud maka aku enggan, maka balasan bagiku adalah
neraka.(Hadis riwayat Ibnu Majah)
B.
AYAT-AYAT SAJDAH DI DALAM AL-QURAN
Ayat-ayat yang disunatkan sujud setelah membacanya, menurut mazhab
Asy-Syaf‘ie, adalah seperti berikut:
1. Ayat ke 206 dari surah Al -A’raf. 9. Ayat ke 25 hingga
26 dari surah Al- Naml.
2. Ayat ke 15 dari surah Al- Ra’d. 10.
Ayat ke 15 dari surah Al -Sajdah.
3. Ayat ke 50 dari surah Al- Nahl. 11. Ayat ke 38 dari
surah Fusshilat.
4. Ayat ke 109 dari surah Al- Isra’. 12. Ayat ke
62 dari surah Al- Najm.
5. Ayat ke 58 dari surah Maryam. 13. Ayat
pertama dari surah Al- Insyiqaq.
6. Ayat ke 17 dari surah Al- Haj. 14. Ayat ke
21 dari surah Al -Insyiqaq.
7. Ayat ke 77 dari surah Al- Haj. 15. Ayat ke 19
dari Al- ‘Alaq
8. Ayat ke 60 dari surah Al -Furqan.
C.
TATA CARA SUJUD TILAWAH DI LUAR SHOLAT
Niat Sujud Tilawah disunatkan melafazkan :
Arttinya:“Sahaja aku melakukan sujud tilawah
kerana Allah Ta‘ala”
Kemudian itu bertakbir sekali lagi untuk
melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya. Apabila hendak bangun dari sujud
adalah disunatkan ketika mengangkat kepalanya dengan bertakbir.
Adalah disunatkan menurut pendapat al- shahih
memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga ia
meletakkan dahinya ke tempat sujud, dan juga bagi takbir yang ke tiga ketika
bangkit dari sujud sehingga duduk semula.(Al-Majmuk 3/561)
Setelah ia bangun dari sujud maka disudahi
dengan salam iaitu dalam keadaan dia duduk tanpa bertasyahhud. Salam menurut
pendapat al-azhar adalah wajib kerana ia merupakan syarat sebagaimana di dalam
kitab Syarah Al-Minhaj.
Kesimpulannya perkara yang dituntut yang juga
merupakan rukun sujud tilawah bagi yang melakukannya bukan di dalam sembahyang
ialah niat sujud, takbir seperti yang dilakukan ketika hendak mengangkat takbir
untuk menunaikan sembahyang, sujud dan juga salam.
D.
BACAAN ATAU ZIKIR KETIKA SUJUD TILAWAH
Adalah sunat hukumnya membaca doa ketika
di dalam sujud tilawah. Di antara doa yang di anjurkan ialah:
Artinya: “Telah sujud wajahku kepada
(Allah)Zat yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka
pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatanNya maka Maha
berkat (serta maha tinggilah kelebihan) Allah sebaik-baik Pencipta”
Untuk mengenali ayat-ayat sajdah itu pada kebiasaannya, di dalam mushhaf ditanda dengan garis dan di penghujung ayat
itu ditanda dengan tanda yang berbentuk seakan-akan dom masjid sementara itu di
bidainya tertulis perkataan sajdah. Adapun hikmah pengkhususan sujud pada tempat-tempat atau ayat-ayat
yang tersebut di atas kerana ayat-ayat tersebut adalah merupakan pujian bagi
mereka yang bersujud dan celaan bagi yang tidak bersujud sama ada secara
terang-terangan ataupun secara isyarat sebagaimana yang dinaqalkan oleh Imam
Al-Qalyubiy perkataan Ibnu Hajar.(Al-Hasyiyatan 1/235).
E.
BILA WAKTU SUNAT SUJUD TILAWAH ITU DILAKUKAN ?
Sujud tilawah itu
sunat dilakukan apabila ayat sajdah itu dibaca di luar sembahyang bukan
pada waktu-waktu yang makruh menunaikan sembahyang sama ada ia bertujuan untuk
melakukan sujud atau tidak.
Begitu juga sunat melakukan sujud tilawah ketika dalam sembahyang jika dibacakan
ayat sajdah tersebut. Tetapi tidak disunatkan
melakukan sujud tilawah jika membaca ayat sajdah itu semata-mata bertujuan (qasad) untuk melakukan sujud, kecuali
jika ia membacanya pada sembahyang fardhu Subuh pada hari Jumaat adalah sunat
ia melakukan sujud tilawah sekalipun ia bertujuan membacanya untuk sujud.
Berdasarkan keterangan di atas tidak
sunat melakukan sujud pada waktu makruh menunaikan sembahyang sekalipun ayat sajdah dibaca
di luar sembahyang begitu juga ketika dalam dalam sembahyang dengan tujuan
membaca ayat sajdah itu untuk melakukan sujud. Bahkan jika dibaca dalam sembahyang
denganqasad sujud tilawah lalu dia bersujud maka batallah sembahyangnya itu.
F.
SYARAT-SYARAT SUJUD TILAWAH
Di dalam kitab Al-Majmuk menurut Ashhab Syafi‘ieyah bahawa hukum sujud tilawah itu sama seperti hukum sembahyang
sunat dari segi syarat-syarat sahnya sujud itu, syarat-syarat itu adalah
seperti berikut:
(i) Bersih daripada hadas kecil atau
besar dan juga bersih daripada najis sama ada pada tubuh badan, pakaian dan
juga tempat.
(ii) Orang yang hendak melakukan sujud tilawah itu juga di kehendaki dalam keadaan menutup aurat.
(iii) Untuk melakukannya hendaklah
menghadap kiblat.
(iv) Hendaklah masuk waktunya ketika
melakukan sujud itu. Adapun masuknya waktu sujud itu ialah sejurus sahaja ia
selesai mambaca atau mendengar keseluruhan ayat sajdah.
Jika sekiranya ia bersujud sebelum lagi habis ayat itu di bacanya atau
didengarnya maka sujud tilawah itu tidak sah dan
tidak memadai.
G.
SUJUD TILAWAH DI DALAM SHOLAT
Sujud tilawah boleh
dilakukan di dalam sembahyang, bahkan hukumnya adalah sunat, sama ada
sembahyang itu dilakukan secara persendirian atau berjemaah. Kedudukan makmum
pula untuk melakukan sujud tilawah itu, bergantung kepada imam. Jika imam bersujud kerana ayat sajdah iaitu ayat yang menuntut
sujud, maka wajib ke atas makmum mengikuti perbuatan imam dengan melakukan
sujud itu kerana jika tidak, maka batallah sembahyangnya.
Sebaliknya jika imam tidak
melakukannya maka makmum adalah tidak dikehendaki untuk melakukan sujud. Jika
dilakukannya juga, maka sembahyangnya menjadi batal. Akan tetapi harus dan
sunat hukumnya bagi makmum melakukan sujud
tilawah selepas selesai memberi salam dengan
syarat jarak di antara sujud dan salam itu tidak lama.
Jika sekiranya makmum tidak mengetahui
bahawa imam telah melakukan sujud
tilawah sehinggalah imam mengangkat kepalanya
daripada sujud, maka tidaklah batal sembahyang makmum itu. Dia dimaafkan kerana
tertinggalnya daripada perbuatan imamnya itu dan juga tidak dikehendaki
melakukan sujud.
Sujud tilawah adalah
sunat dilakukan di dalam sembahyang sama ada pada sembahyang yang dinyaringkan
bacaan (jahar) atau pada sembahyang yang dibaca secara suara perlahan (sir).
Walau bagaimanapun bagi sembahyang yang tidak disunatkan menyaringkan suara, sujud tilawah itu sunat dibuat oleh imam setelah dia selesai menunaikan
sembahyang supaya tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan makmum. (Nihayah Al-Muhtaj 2/100)
Diambil daripada illah di atas (sembahyang
yang dibaca secara suara perlahan) maka begitu juga halnya pada sembahyang yang
disunatkan menyaringkan suara (jahar), sunat (mustahab) bagi imam melakukan sujud tilawah setelah
selesai sembahyang, jika (diketahui) jarak di antara imam dan makmum itu jauh
sehingga dia tidak mendengar bacaan imam atau tidak dapat melihat perbuatan
imam atau diselangi oleh dinding dan sebagainya bagi mengelakkan kekeliruan
para makmum. (Nihayah Al-Muhtaj
2/100)
Adapun cara melakukannya ketika di
dalam sembahyang hendaklah dia sujud dengan disunatkan dia bertakbir tanpa
mengangkat tangannya kerana tangan tidak diangkat ketika hendak melakukan sujud
di dalam sembahyang.
Selepas sujud iaitu bangun dari sujud
tersebut untuk bangkit semula meneruskan sembahyangnya, maka disunatkan ia
bertakbir. Dia tidak wajib berniat untuk menunaikan sujud tilawah di dalam sembahyang
kerana ia sudah terkandung di dalam niat sembahyang (iaitu dengan terkandungnya
niat sujud itu kerana bacaannya) sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Khatib.(Al-Hasyiyatan1/238) Tetapi jika ia berniat juga hendaklah jangan di lafazkan kerana
dengan lafaz itu boleh menyebabkan sembahyangnya itu terbatal.
0 Response to "SUNNAH YANG SUDAH MULAI DILUPAKAN (SUJUD TILAWAH)"
Post a Comment